Mereka mengatakan Persepsi akan menjadi Wadah Penyampai Internet Paling HOT di Malaysia

'Mayat' Tanpa Kepala (Kes Paranormal)

Written By PERSEPSI ANDA on Friday, August 5, 2011 | 2:20 AM


Jam 1 pagi tadi, Rahmat Mokhtar mencadangkan kru 666 membuat tinjauan awal di bekas bangunan klinik di Cheras, Kuala Lumpur. Razali Harun ketika itu bersama kami terpaksa membatalkan niatnya berikutan isteri kurang sihat.
Setibanya di kawasan sasaran, Rahmat kecewa.
"Alamak! Dia orang dah runtuhkan bangunan klinik itu," ujarnya.

Kami meneruskan perjalanan ke arah pintu utama kawasan pembinaan dan dengan keizinan pengawal keselamatan warga asing, kami meluru masuk.
"Kamu dari Bangladesh?," soal saya.
"Ya, Dhaka, Bangladesh," jawab pengawal keselamatan lengkap berseragam itu.

Saya jelaskan kepada pengawal keselamatan berusia 36 tahun itu, mengikut pekeliling dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, hanya warganegara Malaysia dan Nepal sahaja dibenarkan bertugas sebagai pengawal keselamatan di negara ini.
Dia tahu.
"Ini malam kita orang mahu ambil gambar pokok, boleh?," tanya saya.
Dia menganggukkan kepala.

Gambar di atas saya rakamkan ketika jam tangan menunjukkan waktu hampir 2 pagi. Dua pokok rendang berhampiran pagar di sebelah jalan utama menimbulkan suasana seram tetapi itu hanya sekadar perasaan.
Kucing hitam melintas, gambar haiwan itu saya rakamkan.

Jam 2.16 pagi sepasang warga Indonesia berbangsa Flores memasuki pagar, pantas kami menghampiri mereka.

"Pernah ke ternampak benda ganjil atau bunyi orang menangis di kawasan ini?," soal saya.
Pada awalnya mereka kelihatan agak keberatan untuk berkongsi cerita tetapi akhirnya setelah berasa selesa dengan kehadiran kru 666, mereka membuka mulut sebelum ini bak terkunci rapat.
"Tiga bulan lalu, kira-kira jam 1 tengah hari, sewaktu saya mandi di bawah pohon besar itu, saya terlihat perempuan berbaju putih ...," jelas Nona Ismail, 32 tahun.

Belum pun sempat ayat itu dihabiskan, adik iparnya membawa kru 666 ke kawasan dimaksudkan.

"Saya mandi seorang, cuma nampak baju, dia pakai baju putih, macam dia terapung di tepi pokok, rambutnya panjang. Mata dan muka tak nampak, kaki dan tangan pun tak nampak. Dia berdiri di sebelah pokok dalam 10 minit," ujar ibu kepada 3 anak itu.
Berikut gambar pokok dimaksudkan oleh Nona.


Barangkali kerana mendengar cerita awal wanita Flores itu, bulu roma saya turut meremang sewaktu berdiri di tepi pokok sama sambil merakamkan gambar.


"Cuma pada waktu itu, dalam hati saya cakap, jangan kacau saya, saya nak mandi. Saya kalau bulu badan saya berdiri, macam rasa sejuk, saya tahu mesti ada (entiti) sebab masa saya bekerja kilang di Rawang, saya pernah nampak," sambungnya.

Perasaan gementar menghimpit diri buat seketika sewaktu beredar kerana Rahmat dan Farid pantas berjalan di hadapan mengekori adik ipar wanita itu.

Kami kemudian didatangi Solikhin Raim, 41 tahun, berasal dari Lumajang, Jawa Timur, Indonesia.

"Suara menangis saya dengar di lombong berhampiran bangunan di belakang itu. Waktu itu bangunan masih belum siap. Tangisan perempuan betul betul jelas dan lama. Saya cuba mencari tetapi ngak berjumpa," katanya.

"Pukul 2.30 pagi, saya terjumpa mayat tanpa kepala, tangannya begini," sambil dia menggayakan kedudukan tangan mayat.

Lebih mengujakan lagi, Solikhin mendakwa berjaya merakamkan gambar 'mayat' dilihat menggunakan telefon bimbitnya sebelum dia pulang ke Indonesia.
"Itu mayat orang?," soal saya keliru.
"Bukan!," balasnya.
"Orang 'satu' lagi bang," celah Farid.
Hampir jam 3 pagi, kru 666 beredar dari kawasan pembinaan kedengaran dipenuhi misteri terbabit.
Apapun, semua kenyataan mereka hanya sekadar dakwaan kerana belum terbukti. InsyaAllah, hujung minggu ini, 666 akan kembali ke lokasi bersama kru lain dilengkapi peralatan elektronik.
Kami akan cuba menyingkap fakta sebenar di sebalik kisah diceritakan 2 warga Indonesia itu.

Sumber : http://www.mazidulakmal.com/2011/08/mayat-tanpa-kepala-kes-paranormal.html

0 comments:

Post a Comment

"KOMEN untuk MEMBINA. KRITIK biar BERASAS"
PERSEPSI | SUDUT PANDANGAN ANDA

 
 Online Users