
Pertimbang elaun yang mampu capai tahap perbelanjaan
KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr.Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpendapat bekas pesara tentera dan polis harus diberikan kenaikan elaun sebagai tambahan kepada pengorbanan dan penghargaan jasa mereka kepada negara.
Bagaimanapun, beliau mahu elaun yang diberikan mencapai tahap yang boleh meliputi perbelanjaan keperluan asas yang diperlukan.
“Elaun yang diberikan mesti sekurang-kurangnya setanding atau lebih daripada RM750 ke atas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyam-paikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Tabuan Hilir di sini semalam.
Wan Junaidi menambah ia juga harus diselaraskan untuk anggota polis tambahan dan pengawal sempadan (Border Scout) yang telah bersara dalam perkhidmatan.
“Jumlah tersebut perlu ditambah berikutan kos perbelanjaan hari ini. Ia harus sama dengan keadaan sekarang dan bukan jumlah yang sama pada masa lalu.” katanya. Beliau memberitahu pemberita, ada di antara balu dan pesara polis dan tentera yang masih hidup menerima RM80 hingga RM150 sebulan.
“Kalau sudah bayar bil elektrik hendak beli belanja dapur pun tidak dapat. Takkan hendak gunakan lilin,” katanya kepada pemberita.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menyatakan keinginan agar kerajaan persekutuan dan negeri menyelaraskan pemberian elaun kepada pesara dan balu tentera serta polis di seluruh negara.
“Kita tidak boleh mengharapkan senarai nama e-Kasih dan e-Fokus yang banyak nama-nama penerima dari kalangan pesara dan balu yang tercicir,” jelasnya.
Wan Junaidi berkata untuk mendekati mereka, semua wakil rakyat (kedua-dua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) perlu memberi perhatian yang lebih kepada senarai nama-nama di kawasan masing-masing atau mengumpul nama-nama mereka untuk dibantu.
Sumber : http://www.mysarawak.org/2011/08/04/elaun-tambahan-untuk-pesara-tentera-dan-polis.html
0 comments:
Post a Comment
"KOMEN untuk MEMBINA. KRITIK biar BERASAS"
PERSEPSI | SUDUT PANDANGAN ANDA