
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM7.6 bilion pada Jun, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-164 bulan berturut-turut sejak November 1997, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Eksport meningkat 8.6 peratus kepada RM57.35 bilion, daripada RM52.83 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Manakala import pula berkembang 6.3 peratus kepada RM49.75 bilion berbanding dengan RM46.61 bilion pada Jun 2010, kata Mustapa dalam Perangkaan Perdagangan Luar Keluaran Awal yang dikeluarkan di sini, pada Khamis.
Menurut perangkaan itu sebanyak RM107.11 bilion jumlah perdagangan dicatatkan pada Jun, naik 7.5 peratus berbanding RM99.07 bilion yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas.
Berbanding Mei 2011, eksport, import dan jumlah perdagangan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 4.1 peratus, 6.8 peratus dengan dan 5.3 peratus.
Bagi suku kedua tahun ini, jumlah perdagangan meningkat 4.1 peratus kepada RM313.39 billion berbanding suku pertama.
Eksport meningkat 2.3 peratus kepada RM170.24 billion manakala Import naik 6.4 peratus kepada RM143.15 billion berbanding suku sebelumnya.
Bagi tempoh enam bulan terkumpul Jan-Jun 2011, jumlah perdagangan meningkat 7.9 peratus kepada RM614.35 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport sebanyak 6.6 peratus kepada RM336.60 bilion, dan import sebanyak 9.6 peratus kepada RM277.74 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Barangan utama yang menyumbang kepada kenaikan eksport pada Jun ialah barangan elektrik dan elektronik (RM19.63 bilion), minyak kelapa sawit(RM5.96 bilion), gas asli cecair (RM3.74 bilion), kimia dan bahan kimia (RM3.64 bilion), keluaran petroleum bertapis (RM3.06 bilion), petroleum mentah (RM3.06 bilion), barangan perkilangan logam (RM1.82 bilion), jentera, perkakasan dan peralatan (RM1.76 bilion), keluaran getah (RM1.52 billion), barangan optik dan saintifik (RM1.50 bilion) dan lain-lain barangan (RM11.94 billion).
Singapura, China, Jepun, Amerika Syarikat dan Thailand merupakan lima pasaran utama yang menyumbang 50.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Jun.
Negara anggota Asean menyumbang RM14.67 bilion atau 25.6 peratus daripada jumlah eksport bulan tersebut.
Sementara itu, sepuluh barangan import utama pada Jun ialah barangan elektrik dan elektronik (RM14.82 bilion), kimia dan bahan kimia (RM4.46 bilion), keluaran petroleum ditapis (RM4.03 bilion), jentera, perkakasan dan peralatan (RM3.7 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM3.18 billion), barangan perkilangan dan logam (RM2.73 bilion), barangan besi dan keluli (RM2.23 bilion), petroleum mentah (RM1.97 bilion), barangan optik dan saintifik (RM1.50 bilion) dan barangan makanan (RM1.06 bilion).
Manakala sepuluh sumber import utama ialah Singapura, China, Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Taiwan, Jerman, Republik Korea dan Perancis.
Jumlah import dari Asean bernilai RM14.49 bilion atau 29.1 peratus daripada jumlah import pada Jun.
-- BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id=605931
0 comments:
Post a Comment
"KOMEN untuk MEMBINA. KRITIK biar BERASAS"
PERSEPSI | SUDUT PANDANGAN ANDA