Mereka mengatakan Persepsi akan menjadi Wadah Penyampai Internet Paling HOT di Malaysia

Takbir Cinta Amy Search dan Yassin

Written By PERSEPSI ANDA on Wednesday, August 3, 2011 | 9:17 PM


Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, Otai Rock, Amy Search telah melancarkan single terbaru berjudul ‘Takbir Cinta’ yang dinyanyikan bersama penyanyi Yassin. Single yang juga merupakan gubahan dan tulisan Yassin itu adalah projek julung-julung kali Amy Search seteleh berpuluh tahun berada di dalam industri muzik.

Mengulas tentang perkembangan terbarunya itu, Amy memberitahu dia sangat teruja dengan single terbaru ini mengharapkan peminat boleh menerima dan menyukai lagu itu.

“Ini adalah lagu pertama saya yang dibuat sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan Aidilfitri. Kalau ikutkan saya memang sudah lama hendak berkerjasama dengan Yassin, tetapi disebabkan kekangan waktu, baru sekarang kami dapat berkolaborasi. Saya pilih Yassin kerana saya suka dengan lagu-lagu gubahannya. Malah, dia juga seorang penyanyi nasyid kontemporari yang baik,” jelas Amy.

“Proses rakaman mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana kami melakukan beberapa perubahan bagi mendapatkan hasil terbaik. Saya tidak ada masalah bekerja dengan Yassin kerana kami saling berbincang. Secara peribadi, saya menganggap lagu ini cukup istimewa kerana ia adalah projek pertama saya untuk lagu bergenre Balada Rock World Music, tambah Amy lagi.

Sementara itu, penyanyi yang baru menyambut ulangtahun kelahiran ke 53 ini juga sempat menafikan yang halatuju muziknya telah beralih arah. Jelas Amy, memang sejak kebelakangan ini dia terlibat dengan beberapa kolaborasi yang menjurus kepada lagu-lagu kerohanian dan spiritual, tetapi itu bukan bermakna dia telah melupakan irama rock.

“Untuk lagu-lagu bercorak ketuhanan seperti ini saya hanya lakukan untuk projek-projek tertentu. ‘Takbir Cinta’ ini misalnya, adalah untuk sambutan bulan Ramadhan dan Raya tahun ini. Rasanya tidak salah mencuba sesuatu yang berbeza,” ulas Amy ringkas.

Harap hidup lebih dirahmati

Selain melancarkan single terbaru di restoran miliknya, Cheng Ho, pada petang kelmarin, vokalis kumpulan Search ini juga meraikan sambutan harijadinya yang ke 53. Pujian harus diberikan kepada Amy kerana sambutan harijadinya ini dilakukan dengan cara sederhana. Selain menjemput seorang ustaz untuk memberikan takzirah kepada tetamu jemputan, Amy juga menjemput anak-anak tahfiz bagi sama-sama menyerikan majlis.

Ketika ditanya tentang harapannya di usia 53 tahun, Amy memberitahu dia mengharapkan hidupnya akan lebih diberkati dan dirahmati Allah.

“Dalam usia begini sudah pasti saya mengharapkan Allah akan memberikan lebih banyak hidayah kepada saya. Saya mahu hidup saya lebih dirahmati dan diberkati. Saya mahu lebihkan amalan agama agar cukup untuk dibawa ke akhirat nanti,” ulas Amy.

Ditanya tentang jadual kerjanya pada bulan puasa ini, Amy memberitahu seperti tahun-tahun sebelum ini, dia memilih untuk banyak berehat di rumah.

“Saya kalau di bulan puasa suka duduk di rumah sahaja. Sebabnya pada sebelah malam saya mahu menunaikan solat Tarrawikh di masjid. Kalau ada pun aktiviti, saya perlu memenuhi beberapa undangan berbuka puasa yang dianjurkan oleh beberapa badan korporat. Kalau tidak ke situ, mungkin saya akan luangkan masa untuk berbuka bersama-sama pelanggan di kedai saya ini,” ujar Amy.

Bagi yang berminat untuk berbuka puasa di Restoran Cheng Ho, anda boleh membuat tempahan awal. Untuk minggu pertama Ramadhan, anda layak mendapat diskaun sebanyak 20 peratus.

Harga yang dikenakan untuk Bufet Ramadhan Cheng Ho ialah RM43.90 (dewasa) dan RM20.90 (kanak-kanak) pada hari bekerja. Untuk hujung minggu pula ia berharga RM46.90 (dewasa) dan RM23.90 (kanak-kanak).

Antara menu istimewa yang disediakan ialah Kambing Panggang pada setiap hari Ahad, Rendang Daging, Asam Pedas Ikan Pari, Bawal Tiga Rasa, Sup Tulang, Ikan Goreng dalam Sos Cheng Ho, Sup Rumpai Laut Bersama Tofu, dan pelbagai kuih-muih tradisional.

Untuk tempahan, anda boleh menghubungi talian 03 – 41496094.


Sumber : http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/Takbir_Cinta_Amy_Search_dan_Yassin.html

0 comments:

Post a Comment

"KOMEN untuk MEMBINA. KRITIK biar BERASAS"
PERSEPSI | SUDUT PANDANGAN ANDA

 
 Online Users