MH370 : Akhirnya Kakak Kandung Kapten Zaharie Buka Mulut
SINGAPURA - Kakak kandung juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, akhirnya tampil ke hadapan demi mempertahankan adiknya dari terus didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas kehilangan pesawat tersebut.
Sakinah Ahmad Shah yang selama ini memilih langkah untuk berdiam diri dengan segala dakwaan dan spekulasi mengaitkan Zaharie dengan kehilangan MH370 memilih untuk bersuara menerusi satu temubual dalam program ‘The Mystery of MH370’ bersama sebuah rancangan televisyen NewsAsia Channel.
“Individu yang merancang semua ini mestilah seorang yang cerdik dan bersifat 'Einstein'. Tak akan ada individu yang sanggup memanjangkan masa penerbangan sehingga empat, lima atau enam jam hanya untuk melakukan misi bunuh diri.
“Dia (Zaharie) hanya seorang lelaki yang terlalu meminati dunia penerbangan, dia banyak menghabiskan masa dan duit dengan membeli model-model kapal terbang.
"Kalau boleh, dia mahu pasang sayap pada badannya dan terbang. Itu menunjukkan bahawa dia terlalu meminati dunia penerbangan,” katanya menerusi temubual tersebut.
Persoalan demi persoalan mula dibangkitkan sejak kehilangan MH370 menjadi sebuah misteri sehingga membabitkan kerjasama dan siasatan yang melibatkan 26 buah negara berbeza.
Juruterbang pesawat tersebut, Zaharie turut menjadi suspek utama bagi insiden kehilangan kapal terbang itu.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapalnya hilang sejak 8 Mac lalu dan usaha bagi mengesan pesawat tersebut masih dijalankan sehingga kini.
0 comments:
Post a Comment
"KOMEN untuk MEMBINA. KRITIK biar BERASAS"
PERSEPSI | SUDUT PANDANGAN ANDA