Jam 5.30 petang tadi, 4 kru 666, saya, Farid, Rahmat dan Razali tiba di pekan Batu 18, Hulu Langat, Selangor untuk membeli juadah berbuka puasa.
Kira-kira 2 jam sebelum berbuka, langkah mereka laju menuju gerai menjual pelbagai juadah beroperasi di tepi jalan.
Selesai membeli makanan, mereka berdiri di tepi jalan, memerhatikan kejadian dianggap menarik.
"Memang pekan cowboy," bisik Razali.
Saya meminta mereka mengira bilangan penunggang motosikal lalu-lalang tanpa memakai topi keledar dalam tempoh seminit.
"Hendak kata bukan jalan diwartakan, bas pun lalu," komen Razali lagi.
"Dalam tempoh seminit, 13 dari 19 penunggang motosikal lalu tak pakai topi keledar, 6 pakai," lapor Razali.
"Walhal Balai Polis kat depan tu sahaja," celah Farid.
Bak orang mengantuk disorong bantal, tiba-tiba kami terlihat kelibat anggota polis bermotosikal di laluan sama.
Sewaktu dia turun berhampiran kami untuk membeli juadah, saya menegurnya.
"Balai apa paling dekat dari sini?," soal saya.
"Balai Polis Batu 18," balasnya ringkas.
"Kita memang selalu panggil dia orang masuk balai, bagi peringatan. Di surau pun kita nasihatkan supaya memakai topi keledar. Memang selalu sangat buat, tanya kakak jual kuih itu," jelasnya.
Hemat kami, nasihat pihak berkuasa itu bak mencurahkan air ke daun keladi sekaligus pengguna jalanraya terbabit melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1985.
Sewaktu beredar, kurang 100 meter dari lokasi kami berdiri sebelumnya, tersergam Balai Polis dimaksudkan.
"Rahmat, berhenti sekejap," pinta saya.
"Di sini ramai pakai topi bro," celah Razali.
Apapun, kami membuat keputusan untuk berhenti seketika dan merakamkan gambar. Berikutan ketinggian hampir 6 kaki, Rahmat terpaksa menundukkan kepala untuk memerhati lebih teliti.
Farid duduk di sebelahnya turut memantau.
"Standby, satu datang dari belakang," kata Farid.
Bukan satu, ramai penunggang tanpa topi keledar melintasi jalan utama di hadapan balai.
Tepat jam 6 petang kami meneruskan perjalanan pulang, sejam waktu diperlukan untuk tiba di Kota Damansara.
Terlintas di fikiran saya, jika penunggang motosikal tidak memakai topi keledar di Damansara, pasti perbuatan itu dianggap ganjil.
"Hilang akal ke apa?"
Itu antara komen barangkali dilontarkan mereka melihat.
Namun, dari pengamatan kru 666, perbuatan sama dianggap biasa di sekitar pekan Batu 18, Hulu Langat.
Apapun, kami bukan pihak berkuasa. Kami kru penyingkap fakta berhubung kes paranormal. Lagipun kepala diperjudikan jika berlaku kemalangan jalanraya, bukan kepala kami.
Perlukah kami menyibuk? Sedangkan itu kepala mereka.
Sila ke blog terbaharu, Penyingkap Fakta 666 untuk mengetahui hasil tinjauan awal kru 666 di lokasi, 5 kilometer dari kaki Gunung Nuang.
Sumber : http://www.mazidulakmal.com/2011/08/bukan-kepala-kami.html
0 comments:
Post a Comment
"KOMEN untuk MEMBINA. KRITIK biar BERASAS"
PERSEPSI | SUDUT PANDANGAN ANDA